Panduan Mengeluarkan Duit KWSP Untuk Membina Rumah Sendiri

Ramai yang tak tahu bahawa kita bukan sahaja boleh mengeluarkan duit KWSP untuk membeli rumah yang baru, tetapo boleh juga digunakan untuk membina rumah baru.

Kami di Bina Rumah IBS ingin kongsikan cara-cara untuk menggunakan akaun 2 KWSP untuk membina rumah di atas tanah sendiri.

Sebelum anda pergi ke pejabat KWSP untuk menguruskan pengeluaran duit KWSP anda, cuba baca panduan ini dahulu, untuk menjimatkan masa dan untuk mengelakkan dari berlaku sebarang kesilapan:

1. Pastikan anda bercita-cita untuk membina rumah sendiri

Ini merupakan perkara utama. Sekiranya anda benar yakin untuk membina rumah sendiri, barulah anda boleh memohon untuk mengeluarkan duit KWSP.

Anda mestilah merancang untuk menduduki rumah itu, bukan merancang untuk membina dan kemudian menjual balik rumah.

2. Ada tanah untuk pembinaan

Ini juga penting. Anda mestilah sudah mempunyai tanah milik sendiri. Tanah tersebut hendaklah berstatus tanah perumahan, bukan tanah kebun. Tanah felda atau tanah milik agensi kerajaan lain yang diiktiraf juga dibenarkan, dengan syarat mendapat pengesahan daripada agensi tersebut untuk menentukan status pemilikan tanah.

Proses menukar status tanah dari tanah kebun kepada tanah perumahan biasanya mengambil masa 6 bulan.

Anda juga perlu mengenal pasti tanah anda berada dalam lokasi majlis perbandaran atau tidak, kerana ia akan memudahkan penyediaan dokumen nanti.

3. Ada pelan rumah

Anda mesti mempunyai pelan rumah yang diluluskan. Ia sebenarnya bukan syarat dari KWSP. Tetapi, sebagai langkah berjaga-jaga, adalah tindakan yang bijak untuk sentiasa bersedia dengan pelan yang lengkap. Siapa tahu, tengah-tengah buat rumah, ada berlaku kesilapan atau kekurangan bajet. Pelan rumah yang ada boleh digunakan untuk membuat pinjaman bank untuk topup duit yang tidak cukup.

Selain itu, pelan rumah juga boleh digunakan untuk mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (Sekiranya lokasi tanah anda berada dalam majlis perbandaran)

4. Dapatkan sebut harga dan Surat Perjanjian Bina Rumah dari kontraktor anda

Ini adalah wajib. Kontraktor anda akan membantu menyediakan sebut harga dan surat perjanjian supaya anda boleh berikan kepada KWSP untuk rujukan.

Sekiranya anda merancang untuk membina rumah dan membeli tanah sebagai satu pakej, pastikan juga anda menyediakan surat jual beli tanah. Surat perjanjian jual beli tanah juga perlu disediakan sekiranya anda baru membeli tanah tersebut dalam tempoh kurang 2 tahun.

Sekarang, bila dah sedia dengan semua perkara ini, baru anda boleh teruskan permintaan. Sebelum itu, sila kenal pasti anda berada dalam kategori mana:

1. Ingin menggunakan duit sendiri dan KWSP sahaja ATAU
2. Ingin menggunakan pinjaman bank DAN duit KWSP

Untuk kategori pertama, anda boleh mengeluarkan sehingga 100% dari kos bina rumah, atau semua duit dalam akaun 2 anda, mengikut yang lebih rendah.

Untuk kategori kedua, jumlah yang boleh dikeluarkan adalah perbezaan antara jumlah kos dan jumlah pinjaman, atau kesemua duit dalam Akaun 2, yang mana lebih rendah.

Bagi pemohon kategori pertama, anda perlulah menyumbang terlebih dahulu dalam 20% dari keseluruhan kos pembinaan. Untuk membuktikan anda telah menyumbang 20% dari keseluruhan projek, anda boleh gunakan dokumen seperti:

i. Resit bayaran binaan, ATAU
ii. Bil pembelian bahan binaan; ATAU
iii. Surat pengesahan bayaran daripada kontraktor

Bagi pemohon kategori kedua, anda perlu menyediakan:
1. Surat Kelulusan Pinjaman Perumahan (bagi pinjaman kurang dari satu tahun)
2. Surat Kelulusan Pinjaman Perumahan DAN bukti cagaran pada pemberi pinjam (sekiranya pinjaman sudah melebihi satu tahun)

Okay, setakat ini, anda sudah pun:

1. Mempunyai tanah milikan sendiri/isteri
2. Mempunyai pelan rumah DAN surat kelulusan membina rumah/surat pengesahan pembinaan di luar kawasan majlis  dari pihak berkuasa tempatan DAN pelan lokasi rumah bagi rumah di luar kawasan majlis
3. Sebut harga/invois, dan juga surat perjanjian membina rumah dari kontrator
4. Bukti anda telah membayar lebih 20% dari projek dan juga bukti kerja sudah dijalankan sekurang-kurangnya 20% (Sekiranya anda tidak membuat pinjaman bank)
5. Surat perjanjian pinjaman (Sekiranya anda membuat pinjaman bank)

Sekiranya anda sudah ada bersedia dengan perkara-perkara di atas, bermakna anda sudah pun bersedia untuk melakukan pengeluaran.

Hanya pergi ke pejabat KWSP dan buat permohonan di sana.

Untuk maklumat lanjut dan borang permohonan, anda boleh layari laman web KWSP sendiri.

Cara Menyemak Baki Akaun2 KWSP Anda Cukup Untuk Bina Rumah Atau Tidak

Anda boleh melakukan semakan baki akaun 2 anda di mana-mana kiosk atau kaunter KWSP. Anda juga boleh melakukan semakan secara online sekiranya anda mempunyai i-Akaun KWSP.

Sekiranya, anda mahukan anggaran sahaja, anda boleh lihat kepada jadual di bawah ini. Lihat kepada gaji anda selama ini, dan lihat kepada bilangan tahun anda sudah bekerja.

Guna duit KWSP untuk bina rumah

p.s: Ini hanyalah anggaran berdasarkan kiraan dividen 6% setahun, dan mengganggap tiada sebarang kenaikan gaji dan tiada sebarang pengeluaran dilakukan. Untuk jumlah yang tepat, rujuk penyata akaun KWSP anda.

BERMINAT UNTUK MEMBINA RUMAH GUNA DUIT KWSP?

Kami bersedia membantu anda. Kami akan berikan khidmat nasihat beserta menyediakan dokumen-dokumen penting supaya  urusan permohonan pengeluaran duit KWSP anda dipermudahkan. Anda boleh hubungi kami melalui dalam talian, atau melalui Whatsapp di 013-9448238.